Thursday, May 7, 2009

Letak Dunia Di Tangan Bukan Di Hati

KISAH MUHAMMAD BIN WASI’

Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni yang terkenal dengan buku ‘best seller’ bertajuk “La Tahzan” menukilkan satu kisah teladan yang cukup menggugah jiwa iaitu kisah Muhammad bin Wasi’.
Muhammad bin Wasi’ terkenal sebagai seorang yang zuhud pada zamannya. Suatu hari dia berada di dalam barisan tentera yang dipimpin oleh Qutaibah bin Muslim untuk meninggikan kalimah Allah di bahagian timur negara Islam pada waktu itu.
Suatu hari Qutaibah ingin menguji Muhammad bin Wasi’ di hadapan para panglima dan menterinya. Maka, Qutaibah berkata kepada menteri dan panglima-panglimanya.
“Di tanganku ada segenggam emas yang diperolehi hasil ghanimah[rampasan perang] daripada musuh-musuh Islam.”
“Adakah kalian semua percaya bahawa kalau aku menyerahkan emas ini kepada seseorang maka dia akan menolaknya?”
Mereka menjawab: ” Kami sama sekali tidak percaya kalau ada orang yang akan menolak pemberian emas ini.”

Qutaibah berkata ; ” Baiklah, aku akan tunjukkan seseorang daripada umat Nabi Muhammad saw yang menyamakan emas ini dengan tanah kepada kalian semua. Maka dia pun memerintahkan pengawalnya supaya memanggil Muhammad bin Wasi’ untuk menghadapnya.
Maka, tatkala Muhammad menghadap Qutaibah, lalu diberikannya segenggam emas di dalam tangan Qutaibah. Maka Muhammad bin Wasi’ terus mengambil emas tersebut tanpa sepatah kata.
Qutaibah tercengang. Sangkaannya Muhammad akan menolak pemberiannya. Wajahnya berubah menahan malu di hadapan menteri dan panglimanya.
Qutaibah memerintahkan pengawal-pengawalnya supaya mengekori langkah Muhammad bin Wasi’ selepas beliau keluar dari majlis itu.
Muhammad bin Wasi’ membawa emas tersebut dan dalam perjalanannya beliau berjumpa dengan seorang fakir miskin, dan Muhammad memberikan semua emas tadi kepada fakir miskin tersebut.
Berita ini dilaporkan oleh pengawal-pengawal yang mengintip pergerakan Muhammad bin Wasi’ kepada Qutaibah. Lalu Qutaibah tersenyum dan berkata kepada orang-orang di sekelilingnya ” Bukankah sudah aku katakan kepada kalian bahawa masih ada lagi hamba Allah daripada umat ini yang menyamakan emas dengan tanah?
Begitulah contoh seorang insan yang hatinya langsung tidak terpaut kepada dunia. Emas yang tinggi nilainya, tidak langsung memesongkan hatinya daripada mengingati Allah dengan menyalurkan kepada orang-orang yang lebih memerlukan. Hidupnya sederhana dan mulutnya sentiasa basah dengan kalimah ‘istighfar’ [memohon ampun] dan bertasbih kepada Allah. Ternyata Muhammad bin Wasi’ adalah contoh insan yang meletakkan dunia di atas tangannya. Dunia dan habuan di dalamnya digunakan untuk jalan-jalan kebajikan dan jihad di jalan Allah.

Dari Ibn Umar r.a., katanya : “Rasulullah SAW telah memegang bahuku dan bersabda : ‘Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau, atau pengembara.’ Maka Ibn Umar berkata : “Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi. Dan jika engkau berada di waktu pagi maka janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit. Dan gunakanlah waktu hidupmu sebelum datang waktu mati. “

No comments:

Post a Comment